KETIADAAN Zlatan Ibrahimovic merupakan "kehilangan besar" buat Manchester United untuk memburu tempat dalam Liga Juara-Juara, menurut bekas pemain tengah United, Quinton Fortune.

Ibrahimovic -- penjaring terbanyak United -- ditimpa kecederaan lutut serius dalam kemenangan kelab itu dalam aksi suku akhir Liga Europa ke atas Anderlecht, semalam, dan laporan mencadangkan penyerang Sweden itu mungkin terlepas baki musim ini.

Anak buah Jose Mourinho kembali dalam saingan Eropah menerusi Liga Europa -- di mana mereka akan menghadapi Celta Vigo di peringkat separuh akhir -- atau menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini di kelompok empat teratas, dan kehilangan Ibrahimovic merupakan satu tamparan besar buat Red Devils.

"Kehilangannya akan terasa," kata Fortune kepada Omnisport. "Jika anda melihat jumlah sumbangan golnya, saya berasa agak terkilan kerana dia benar-benar cemerlang.

"Sikapnya cukup cemerlang. Dia akan menjadi satu kehilangan besar di dalam bilik persalinan.

"Mudah-mudahan dia dapat pulih dengan segera, tetapi ia satu kehilangan besar. Saya tidak tahu bagaimana United akan menghadapinya.

"Perlawanan dengan Chelsea (Marcus Rashford dan Ander Herrera menjaringkan gol United untuk meraih kemenangan 2-0) menunjukkan kami mempunyai pemain lain yang boleh diharapkan, tetapi ada permainan tertentu di mana kami memerlukan Zlatan.

"Kami memerlukan kehadirannya, kami perlukan keyakinannya untuk memacu pasukan.

"Mudah-mudahan ada pemain lain seperti Anthony Martial, Wayne Rooney -- dia masih ada dan masih menjadi tonggak penting -- selain Marcus, Jesse Lingard dan Marouane Fellaini.

"Pengurus mempunyai banyak pilihan, tetapi Zlatan adalah satu kehilangan yang besar."

United semakin terjejas dengan ketiadaan Marcos Rojo, Chris Smalling serta Phil Jones yang tercedera, dan Fortune berharap isu-isu itu tidak membantutkan usaha United mengejar slot Liga Juara-Juara.

"United sentiasa mempunyai jalan dan saya tidak suka mencipta alasan untuk mereka," katanya.