SETIAUSAHA Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mengesahkan pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberikan tempoh masa sehingga Isnin ini buat FAM menyerahkan segala laporan melibatkan insiden pergaduhan dengan pasukan Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Antara perkara diminta membabitkan laporan mengenai tindakan dalaman dilakukan oleh FAM selepas insiden berkenaan.

Menurut Stuart, banyak proses perlu dilalui dan beliau berasakan segala siasatan akan berjalan sekurangnya-kurangnya dalam tempoh satu bulan.

"Ia surat kenyataan yang meluas, kami diminta untuk memberikan maklumat daripada aspek keselamatan, berapa pegawai kami yang ada, hanya soalan biasa.

"Tiada fokus kepada satu, dua perkara atau seorang, dua pegawai, tiada. Ia hanya keyataan umum meminta laporan daripada pandangan FAM," katanya.

Pada Jumaat lalu, aksi persahabatan skuad B-23 tahun di antara skuad negara dan UAE berakhir dengan insiden pergaduhan membabitkan sejumlah besar pemain serta segelintir pegawai.

Ia berpunca tindakan Mohd Khalfan Al-Harasi yang didakwa menumbuk Adib Zainuddin semasa perlawanan berlangsung sehingga mencetuskan ketegangan selama beberapa minit.