WALAUPUN berbekalkan latihan intensif serta semangat juang tinggi, pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad, tidak mahu dikecewakan dengan kegagalan instrumen dalam Sukan Olimpik Rio nanti.

Skuad memanah negara akan ke Rio pada 23 Julai selepas hampir sebulan menjalani latihan intensif di Korea Selatan.

Lantaran itu, tempoh beberapa hari ini akan dimanfaatkan Khairul Anuar untuk meneliti dan memastikan tiada sebarang masalah pada instrumen memanah yang bakal dibawa ke Rio.

"Penting untuk kami meneliti perkara ini supaya kami dapat tahu keadaan kami sebelum dan selepas, itu langkah yang sangat penting," jelasnya.

Khairul Anuar berkata demikian selepas menjadi tetamu majlis rumah terbuka hari raya anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Serdang pada Khamis.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, merupakan Ahli Parlimen kawasan Kemaman, iaitu tempat kelahiran Khairul Anuar.

Shabery yakin dengan kemampuan Khairul Anuar melakukan yang lebih baik di Rio nanti selepas mara ke suku akhir pada edisi 2012 London.

"Ketika di Olimpik yang lepas (London 2012) saya sendiri dapat menyaksikan Khairul menewaskan juara dunia dan berada dalam pusingan 16, jadi selepas empat tahun, saya tahu dia kini berada di tahap lebih baik," ujarnya.