Pemain pertahanan tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohammad Fadhli Shas yakin kehadiran beberapa pemain baharu dalam skuad Harimau Selatan mampu menyuntik semangat kepada mereka untuk memburu lebih banyak kejuaraan pada musim depan.

Pemain kebangsaan itu percaya kehadiran beberapa muka baharu selain kembalinya dua penyerang berbisa skuad Harimau Selatan iaitu Luciano Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz dapat menajamkan lagi jentera serangan skuad berkenaan.

JDT yang juga juara bertahan Liga Super sejak 2014 mendapatkan khidmat beberapa pemain muda seperti Mohamed Syamer Kutty Abba dari Pulau Pinang, Adam Nor Azlin (Selangor), Muhammad Syafiq Ahmad (Kedah), dua pemain import iaitu La' Vere Corbin-Ong (Kanada) dan Bruno Gabriel Soares (Brazil) selain turut mengesahkan kehadiran semula dua tonggak import dari Argentina itu.

"Apabila saingan musim baharu bermula, sudah tentu cabarannya lebih getir. Sebagai pemain, kami seharusnya perlu lebih mantap bukan saja dari segi fizikal dan tahap kecergasan tetapi juga kekuatan mental," kata Mohammad Fadhli menerusi posting terbaharu laman Facebook JDT, 'The Southern Tigers'.

Dalam pada itu, bekas pemain skuad Harimau Muda tersebut menegaskan objektif pasukan berkenaan tetap sama iaitu mempertahankan kejuaraan Liga Super pada musim depan, sekali gus layak beraksi secara automatik ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada 2019.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan Malaysia bakal meraih satu slot automatik dan satu slot ke pusingan kelayakan ACL pada 2019 berdasarkan ranking kelab AFC yang dikeluarkan baru-baru ini yang menyaksikan Malaysia menduduki tangga keenam dalam Zon Timur.

"Berita itu pasti menyemarakkan lagi semangat kami untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi menempatkan JDT dalam saingan kelab Asia, tetapi kami juga harus berwaspada dengan ancaman pasukan lain yang mengimpikan slot berkenaan," kata Mohammad Fadhli Shas yang menyertai JDT sejak 2014.

Sementara itu, beliau berkata tiga aksi persahabatan pramusim di Thailand bulan depan menjadi medan terbaik untuk skuad Harimau Selatan membaiki corak persembahan sebelum berdepan naib juara Liga Perdana Thailand, Muangthong United pada aksi pusingan kelayakan ACL 2018, hujung Januari ini.

JDT dijadualkan mengadakan aksi persahabatan dengan tiga kelab tempatan di sana iaitu Army United, Chonburi FC dan Port FC.

-- BERNAMA