MISI pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, untuk bergelar juara Kejohanan Badminton Asia buat kali ketiga tidak kesampaian selepas tumbang di tangan bekas pemain nombor dua dunia, Kento Momota, 21-19, 21-14 dalam separuh akhir di Wuhan, China, hari ini.

Wakil tunggal Malaysia dalam separuh akhir, Chong Wei yang hadir ke dalam kejohanan ini sebagai pemenang pingat Sukan Komanwel, memulakan aksi dengan baik apabila berjaya mendahului 19-17 tetapi gagal mengekalkan momentum hingga wakil dari Jepun itu memungut lima mata berturut-turut untuk memenangi set pertama.

Dalam set kedua, Chong Wei berusaha menampilkan kebangkitan tetapi kecergasan menjadi penghalang dan Momota mengambil kesempatan itu untuk merakamkan kemenangan straight set ke atas bekas pemain nombor satu dunia itu dalam tempoh 55 minit.