PEMENANG pingat perak Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Malaysia, Andre Anura Anuar, akan menamatkan kemarau 12 tahun atlet lompat jauh negara dalam Kejohanan Olahraga Asia selepas terpilih menyertai saingan di Doha, Qatar itu, 21 April ini.

Kebangkitan Andre membawa sinar baru buat acara lompat jauh negara.

Atlet kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, itu memperbaharui catatan peribadi terbaiknya, 7.72 meter ketika meraih pingat Perak GP Malaysia, hujung minggu lalu untuk terpilih ke Doha.

Walaupun catatan itu belum cukup untuk memburu pingat dalam kejohanan Asia, ia merupakan perkembangan positif untuk sukan lompat jauh negara.

"Jarak lompatan saya semakin baik.

"Saya berharap dalam tempoh setahun ini, saya mampu untuk melakukan lompatan sejauh lapan meter," katanya.

Catatan 7.72m itu bermakna andre cuma kekurangan 0.11m untuk menyamai rekod kebangsaan milik Josbert Tinus yang dilakukan pada 2007.

Peluangnya kini cukup baik kerana dia baru berusia 20 tahun.

"Secara realistiknya, saya mahu menyasarkan rekod kebangsaan berbanding pingat.

"Saingan di peringkat Asia lebih sukar, jadi saya menyasarkan rekod kebangsaan," tambahnya.