OLE GUNNAR SOLSKJAER menyifatkan kekalahan 0-2 kepada Paris-St Germain dalam saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menyedarkan mereka untuk kembali berpijak di bumi nyata.

Pasukannya ditundukkan pelawat dari Perancis di laman sendiri apabila Presnel Kimpembe dan Kylian Mbappe meledak pada separuh masa pertama, diperitkan dengan kehilangan ayam tambatannya Paul Pogba yang dibuang padang pada minit terakhir perlawanan.

Ia merupakan kekalahan pertama Solksjaer selepas menang 10 daripada 11 perlawanan sejak mengambil alih daripada Jose Mourinho pada Disember.

Namun pengurus interim The Red Devils itu berkata, mereka tidak boleh menyerah kalah dan perlu ‘menempuh pendakian yang tinggi’ untuk meneruskan cabaran dalam kancah Eropah.

“Hari ini menyedarkan kami tentang tahap pasukan-pasukan atasan.

“Kami mahu ke tahap itu. Empat teratas adalah satu perkara. United perlu berada di atas. Mereka adalah pasukan atasan. Kami tahu bahawa kami perlu meningkatkan tahap kami. Kami kecewa,” katanya.

Malah, duo serangannya Jesse Lingard dan Anthony Martial terpaksa dikeluarkan selepas separuh masa pertama yang membosankan tamat ekoran kecederaan.

Solskjaer berharap kecederaan otot yang dialami mereka tidak serius dan dapat pulih dalam masa beberapa hari untuk kembali memperkuat pasukan.

“Ada keazaman di dalam bilik persalinan untuk memperbaiki keadaan.

“Kami akan lakukannya. Kalau kami boleh menamatkan separuh masa pertama dengan satu gol pendahuluan, itulah yang kami perlu sasarkan,” katanya optimis menuju pertemuan timbal balik di Paris 6 Mac depan.

Pertemuan pertama di Old Trafford awal pagi Rabu itu juga menyaksikan Angel Di Maria kembali seakan ‘membalas dendam’ kepada bekas kelabnya apabila menjadi penjelma kepada dua gol kemenangan PSG.

Sepakan sudutnya pada minit ke-53 ditampan kemas Kimpembe untuk pelawat mendahului, sebelum membuat hantaran lintang leret untuk disambut sensasi muda Mbappe yang memecut melepasi dua pertahanan sebelum menampan bola melepasi David De Gea untuk mengesahkan kemenangan empat minit kemudian.