Polis mengenal pasti punca sebenar pergaduhan di antara penyokong JDT dan Perak di Stadium Perak pada malam Sabtu selepas tamatnya perlawanan Liga Super adalah berpunca daripada tindakan provokasi di antara kedua-dua pihak.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pada awalnya perlawanan selama 90 minit itu berlangsung dengan lancar.

Katanya, bagaimanapun, selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Perak kalah 0-1 kepada pasukan pelawat 'The Southern Tigers', penyokong kedua-dua pasukan terus melaungkan kata-kata provokasi dan kesat diiringi paluan gendang.

"Selepas itu bermula caci-maki antara penyokong diikuti balingan objek seperti botol minuman dan mercun yang menyebabkan mereka terus bergaduh di tempat penyokong selama beberapa minit sebelum dileraikan pihak polis.

"Selepas itu, pintu pagar di hadapan penyokong JDT dibuka untuk mengasingkan penyokong JDT dengan penyokong Perak.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa penyokong JDT menyerbu masuk padang dan telah bertindak agresif dengan merosakkan papan iklan di tepi padang selain mengambil kembali botol minuman, batu, serpihan kerusi dan mula melontarkan ke arah penyokong Perak," katanya dalam satu kenyataan media pada malam Ahad.‎

Sum berkata, penyokong Perak di tempat duduk penonton turut membalas tindakan dengan membaling objek tersebut ke arah penyokong JDT yang berada di dalam padang.

‎Dalam perkembangan yang sama, beliau memberitahu pihak polis turut membuat tangkapan terhadap dua penyokong JDT yang membawa masuk suar ke dalam stadium.

Tambahnya, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957.

"Pihak polis berjaya mengawal keadaan di dalam padang dalam tempoh 30 minit. Penonton berjaya disuraikan dan diarah meninggalkan stadium pada jam 12.30 malam.

"Pemain dan penyokong JDT telah diiringi dengan MPV polis ke hotel penginapan dan lebuh raya pada jam 1 pagi.

Sum berkata pihak polis mengingatkan mana-mana pihak yang mempunyai gambar dan video mengenai insiden tersebut agar dapat menyalurkan kepada pihak polis untuk membantu dalam siasatan lanjut.

Sekurang-kurangnya dua penyokong pasukan bola sepak JDT dan seorang jurufoto akhbar NSTP cedera dipercayai akibat terkena balingan objek keras dalam kekecohan yang berlaku malam tadi.