PASUKAN Liga Super China, Hebei Fortune, menyelar laporan yang mengaitkan mereka dengan bintang Real Madrid, James Rodriguez, dengan mendakwa mereka menjadi mangsa kepada berita palsu.

Kelab itu yang melantik bekas bos Real Madrid, Manuel Pellegrini, pada Ogos tahun lalu dilaporkan telah membuat bidaan sejumlah GBP95 juta (RM516.6 juta) ke atas pemain Colombia itu yang bergelut untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama di Santiago Bernabeu.

Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan oleh Hebei Fortune itu menafikan sebarang pendekatan telah dilakukan ke atas pemain berusia 25 tahun itu dan mendakwa wartawan telah melampaui batas.

"Mereka pernah mengaitkan kami dengan Lionel Messi sebelum ini, sekarang kami memburu James Rodriquez. Siapa sasaran kami seterusnya? Cristiano Ronaldo?

"Kami tidak pasti siapa yang mencetuskan khabar angin tersebut, tapi mereka telah melampaui batas. Kelab ini bukan ditubuhkan untuk menafikan khabar angin," menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, adalah mustahil buat mereka untuk menjawab semua berita palsu.

"Tolonglah, jangan ambil kesempatan ke atas kami untuk melariskan jualan."