Kelab Gabungan Penyokong Pasukan Bola Sepak Kedah atau Lang Merah Fans Associate (LMFA) hari ini merayu pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe mempertimbangkan semula peletakan jawatannya.

Ahli Jawatankuasa LMFA, Ismail Zain berkata peletakan jawatan secara drastik sedikit sebanyak memberi kesan kepada skuad Kedah yang kini pada prestasi terbaik sepanjang Liga Super.

"Sepanjang beliau mengemudi pasukan Kedah, banyak perubahan yang dapat kita lihat. Sekiranya beliau menerima tawaran FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), saya harap beliau dapat menyatakan lebih terperinci butirannya.

"Ini kerana pasukan Kedah hari ini disayangi ramai peminat setia yang sentiasa memenuhi stadium setiap kali perlawanan berlangsung," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Ismail juga meminta FAM mempertimbangkan semula tawarannya kepada Cheng Hoe sehingga ke akhir musim, agar tidak mengganggu prestasi pasukan Kedah ketika ini.

"Kami faham ia demi memajukan bola sepak negara dan kami hormati tawaran FAM tetapi diharap dapatlah dilakukan pada akhir musim ini," katanya.

Dalam pada itu, LMFA yang mewakili 24 kelab gabungan akan menyerahkan memorandum rayuan kepada Presiden Persatuan Bola sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah esok agar mengambil jalan penyelesaian terbaik menangani isu ini.

Selain itu, LMFA turut bercadang memohon perkenan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah yang juga peminat nombor satu Lang Merah untuk menyokong cadangan dan pandangan mereka supaya dapat memperkuatkan lagi rayuan itu.

Nama Cheng Hoe yang membawa Kedah muncul juara Piala Malaysia musim lalu disebut-sebut bakal dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan.

Beliau dikatakan menjadi pilihan Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membantu Mario Gomez yang dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, pada 25 Mac lepas.

Sejak menggalas tugas sebagai jurulatih Kedah pada 2014, Cheng Hoe berjaya membimbing Kedah menjuarai Piala Malaysia musim lalu, dan dalam saingan Liga Super musim ini, Kedah kini di tangga teratas dengan 18 mata daripada lapan perlawanan. - BERNAMA