Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan skuad The Red Warriors (TRW) akan tetap bersaing dalam Liga Malaysia 2017.

Keputusan itu dicapai selepas dua syarikat, RedONE dan AlHamra Group bersetuju untuk menaja skuad itu.

Menurut Pengerusi RedONE yang juga Presiden Al Hamra Group, Tan Sri Annuar Musa, pada peringkat awal, TRW bakal menerima suntikan RM3 juta sebagai jaminan untuk membolehkan pasukan itu bersaing musim ini.

"Keputusan itu dimuktamandkan selepas mengadakan perbincangan dengan KAFA semalam bagi menamatkan krisis kewangan KAFA," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebagai penaja, Annuar turut memohon agar jersi TRW ditukar kepada warna tradisnya iaitu warna merah dan biru.

RedONE adalah sebuah syarikat telekomunikasi manakala Al Hamra Group merupakan syarikat berasaskan pertanian dan perladangan.

Sebelum ini, akhbar melaporkan KAFA mahu menarik diri daripada saingan Liga-M kerana menghadapi kemelut kewangan yang kritikal.