Kekurangan pemain import dikatakan sebagai punca pencapaian merosot pasukan bola sepak Kelantan sehingga menjadi pasukan belasahan pada dua perlawanan Liga Premier yang diharungi sebelum ini.

Ketua Jurulatih Kelantan Yusri Che Lah mengakui kekurangan pemain asing memberikan bebanan kepada pasukannya untuk berdepan dengan pasukan lawan yang memiliki pemain import yang lengkap.

"Saya tidak berpuas hati dengan corak permainan pasukan walaupun rata-rata pemain berusaha mengubah sikap untuk bersaing.

"Tidak banyak yang boleh dilakukan dengan kekurangan pemain dan perkara ini terpaksa saya lalui sehingga tamat musim ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada pelawanan menentang pasukan Pulau Pinang Kelantan tewas 4-1 di Stadium Bandaraya, Goergetown dan terbaru turut tewas 3-1 kepada pasukan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.

Yusri berkata ketika ini pasukannya hanya mempunyai khidmat seorang pemain import yang belum 'sempurna' di bahagian pertahanan berikutan mengalami kecederaan.

"Kami terpaksa menggunakan perkhidmat Cassio De Jesus walaupun beliau belum pulih dan meletak sepenuh keyakinan untuk bermain kerana kami tiada pilihan lain.

"Setidak-tidaknya pemain itu dapat menyuntik semangat pemain tempatan dan kami perlu mengubah kedudukan carta liga pada perlawanan akan datang," katanya.

Sebelum ini, dua pemain import iaitu Raul Tarragona dan Flavio Beck Junior menamatkan kontrak bersama pasukan Kelantan.

Selepas 13 perlawanan, Kelantan berada di kedudukan tercorot liga dengan hanya memperolehi lapan mata hasil daripada dua kemenangan, enam kalah dan lima seri.

-- BERNAMA