Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kini diuruskan sebuah syarikat dinamakan Kelantan Red Warriors Sdn Bhd bagi membantu memantapkan pengurusan persatuan berkenaan.

KAFA dalam satu kenyataan pada Ahad, berkata pihaknya sebelum ini mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat, Myinspiration Sdn Bhd yang bertujuan bagi memacu pasukan bola sepak negeri ke arah sebuah pasukan lebih profesional dan terancang.

"Kerjasama antara dua entiti ini (KAFA dan Myinspiration Sdn Bhd) akan bergabung di bawah satu syarikat dikenali sebagai Kelantan Red Warriors Sdn Bhd.

"Penubuhan syarikat ini bagi menyediakan pasukan bola sepak Kelantan ke arah menjadi sebuah pasukan profesional dan berdaya saing bagi memacu kemajuan bola sepak Kelantan secara jangka panjang selain menyediakan kewangan lebih mampan dan teguh," kata kenyataan itu.

KAFA ditubuhkan secara rasmi pada 1946. Pada 2007 menyaksikan perubahan dalam landskap kepimpinan KAFA apabila Tan Sri Annuar Musa diberi kepercayaan menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan sehingga pasukan The Red Warriors (TRW) berjaya meraih gelaran juara berganda pada 2012.

Sementara itu, Presiden KAFA Bibi Ranjami Ilias Khan mengesahkan persatuan itu kini diuruskan oleh syarikat berkenaan bagi melakukan perubahan kepada pembangunan bola sepak negeri ini.

"Keputusan ini dibuat sebulat suara oleh anggota exco KAFA dengan satu hasrat untuk membawa pasukan Kelantan ke arah pasukan berprestasi tinggi dan profesional dalam jangka panjang

"Keputusan ini juga akan membantu KAFA dalam mengatasi kemelut kewangan. Kita sudah lama berhasrat mendapatkan rakan kongsi mempunyai hasrat sama bagi menggerakkan pasukan ke arah lebih teratur dan strategik seterusnya membawa Kelantan kembali ke Liga Super dan menjadi pencabar kepada pasukan lain," katanya.

Beliau berpendapat dengan hanya melibatkan pihak swasta, pasukan negeri dilihat mampu bergerak lebih maju dan tersusun.

"Langkah ini dilihat selari dengan aspirasi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang secara konsisten menggesa pasukan negeri menyediakan rangka perancangan lebih efektif dalam mencapai hasrat untuk mengangkat status bola sepak negara ke arah pasukan profesional.

"Kesemua pihak itu dilihat begitu optimis dan komited dalam merealisasikan pembangunan pemain dalam pasukan Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia Kelantan," katanya.

-- BERNAMA