Malaysia menjelmakan kebangkitan, apabila seri satu sama dengan pendahulu kumpulan D, Bahrain pada perlawanan di Shah Alam malam tadi.

Barisan negara memulakan aksi babak pertama, dengan banyak menahan asakan lawan dan melancar gerakan serang balas.

Memiliki peluang pada minit ke-21 tetapi percubaan jarak jauh Amri Yahyah terus ke dakapan penjaga gol lawan, Sayed Mohammed Jaffer.

Peluang awal Bahrain pula hadir pada minit ke-24, menerusi sepakan percuma Saleh Abdul Hamed yang ditepis penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Ketika babak pertama seakan terlerai tanpa jaringan, Bahrain berjaya memecah kebuntuan menerusi percubaan Abdullah Salleh Aman dari jarak 30 meter, pada hujung babak pertama.

Masuk babak kedua, Harimau Malaya mula menjelmakan aksi lebih agresif.

Usaha mereka terhasil pada minit ke-70, apabila penyerang Johor DT, Norshahrul Idlan Talaha berjaya melepaskan percubaan dari hujung kawasan lawan, yang menewaskan Sayed Mohamed.

Jaringan Norshahrul, meningkatkan moral rakan sepasukan untuk terus menggandakan asakan, sambil menutup ruang buat lawan melakukan ancaman.

Norshahrul turut memiliki satu lagi peluang pada hujung babak kedua, tetapi percubaan jauhnya kali ini, sedikit tersasar.

Kedudukan satu sama kekal, sehingga wisel penamat.

Malaysia kini di tangga ketiga kumpulan, dengan empat mata selepas tiga perlawanan tiga mata di belakang Bahrain dan dua, di belakang Qatar.