Kemarau gelaran terus menghantui ratu skuasy Malaysia dan pemain nombor tiga dunia, Datuk Nicol David dalam Jelajah Dunia PSA (Persatuan Skuasy Profesional).

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu tewas dalam separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Wadi Degla di Kaherah, Mesir pada lewat Khamis (awal Jumaat waktu Malaysia).

Nicol yang juga pilihan utama kejohanan, tewas 11-9, 11-13, 7-11, 11-8 dan 7-11 di tangan musuhnya dan pemain nombor empat dunia, Raneem El Welily dari Mesir dalam perlawanan yang diadakan di Kelab Wadi Degla, menurut laman web kejohanan www.wadideglaworldsquashchamps.com.

Ia merupakan kekalahan ketiga Nicol kepada Raneem dalam semua pertemuan mereka musim ini.

Untuk rekod, juara dunia lapan kali itu tumpas kepada Raneem pada Final Siri Dunia PSA Wanita di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada Mei dan juga Terbuka Amerika Syarikat di Philadelphia, Amerika Syarikat bulan lepas.

Kemenangan terakhir Nicol dalam Jelajah Dunia PSA ialah di Terbuka Hong Kong selepas menewaskan pemain nombor dua dunia, Laura Massaro dari England pada perlawanan akhir Disember 2015. -- Bernama