Norizman Ismail menghadiahkan kejayaan memenangi perlumbaan Underbone 130cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM di Thailand, semalam sebagai hadiah bersempena sambutan Hari Kebangsaan negara hari ini.

Pelumba Honda itu mempamerkan aksi terbaik apabila muncul juara pada Perlumbaan 2 menewaskan pendahulu keseluruhan, Gupita Kresna Wardhana sekaligus merapatkan jurang kepada 33 mata dalam senarai keseluruhan Underbone 130cc.

Kejayaan itu juga memberi makna buat Norizman setelah dia mengalami kesukaran pada Perlumbaan 1 yang menyaksikan dia terpaksa beraksi dengan masalah kotak gear jentera namun masih berupaya menamatkan saingan di tempat ke-10.

"Kemenangan ini amat bermakna buat pasukan terutama bersempena sambutan Hari Kebangsaan negara. Dengan pelbagai cabaran yang dihadapi negara ketika ini terutama dari segi ekonomi dan politik, kemenangan ini saya hadiahkan khas buat Malaysia," jelas Norizman bersemangat.

Mengulas tentang kemenangan di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Norizman berkata, "Perlumbaan minggu ini sangat mencabar. Kami hadir ke Thailand dengan keyakinan yang tinggi namun dikecewakan dengan masalah kotak gear pada Perlumbaan 1, masalah yang sama sekali di luar jangkaan kami.

" Kami terpaksa mengambil risiko apabila memilih menggunakan pelarasan serupa dengan Perlumbaan 1. Agak memeranjatkan apabila jentera saya begitu kompetitif dan membantu saya untuk memenangi perlumbaan."

Bercakap tentang peluang untuk memenangi gelaran, Norizman berkata, "Masih ada 100 mata untuk dimenangi pada baki perlumbaan akan datang, jadi peluang masih ada. Saya perlu menamatkan perlumbaan di atas podium sebanyak mungkin, dan paling penting di hadapan Gupita. Jika kami mampu melakukannya, saya yakin penentuan gelaran juara akan ditentukan pada pusingan terakhir Disember nanti."