MAN UTD 4 NEWCASTLE 1

Ole Gunnar Solskjaer percaya Scott McTominay mengalami kecederaan ligamen lutut ketika meraih kemenangan 4-1 ke atas Newcastle United.

Pemain tengah, McTominay, mengalami kecederaan pada permulaan aksi sehari selepas Hari Krismas di Old Trafford, namun kekal di atas padang hingga tamat separuh masa pertama.

Pemain kebangsaan Scotland itu digantikan oleh Paul Pogba dan meninggalkan padang dalam keadaan terhincut-hincut, satu kebimbangan buat The Red Devils ketika jadual padat yang perlu diharungi ketika ini.

Solskjaer masih belum mengetepikan McTominay -- yang dilayangkan kad kuning seawal 24 saat kerana melakukan terjahan terhadap Sean Longstaff -- untuk aksi berdepan Burnley Sabtu ini, manakala memuji pemain itu yang meneruskan permainan walaupun mengalami kecederaan.

"Dia mungkin mengalami kecederaan ligamen lutut. Kami tidak tahu betapa teruk keadaannya lagi, kata Solskjaer.

"Dia merupakan antara pemain yang berhati cekal. Dia meneruskan permainan hingga tamat separuh masa untuk pasukan. Kami akan cuba mengenal pasti esok.

"Anda dapat melihat perwatakan yang dipamerkan pada permulaan permainan. Saya tidak pasti dia dapat diturunkan berdepan Burnley. Mungkin tidak, namun kami pernah melihatnya kembali pulih sebelum ini."

Matty Longstaff memberikan gol pendahulu buat Newcastle tetapi Manchester United -- tewas 2-0 kepada Watford dalam aksi terdahulu -- bangkit dengan cemerlang, menggunakan peluang di sebalik pertahanan longlai pasukan lawan untuk meraih tiga mata.

Anthony Martial menjaringkan dua gol, sementara Mason Greenwood dan Marcus Rashford turut menemui sasaran, mendominasi permainan pada awal separuh masa kedua ia membenarkan Solskjaer merancang bagi perlawanan seterusnya dengan pertukaran yang dilakukan.

"Saya berasakan kami beraksi cemerlang hari ini. Sememangnya, kami ketinggalan 1-0 pada awal permainan.

"Namun, sepanjang musim ini, selepas kami tewas, kami akan bangkit dalam perlawanan seterusnya. Jadi ia merupakan aksi yang cemerlang buat kami hari ini.

"Pemain-pemain menampilkan perwatakan yang cemerlang hari ini, mereka menggunakan peluang sebaik mungkin serta tidak berputus asa."