Usaha menaik taraf kemudahan serta prasarana sukan yang terdapat di Kompleks Sukan Ranau (KSR) penting bagi menyediakan tempat sukan terbaik kepada atlet tempatan pada masa akan datang.

Anggota Parlimen Ranau, Datuk Dr Ewon Ebin berkata, cuaca baik di sekitar Ranau ketika ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membangunkan prasarana sukan yang lama di KSR itu.

Menurutnya, menaik taraf kemudahan di KSR itu sekali gus akan memberi peluang kepada generasi atlet muda Ranau untuk merasai pengalaman menjalani latihan di kompleks sukan yang terletak pada kedudukan altitud tinggi.

"Daerah Ranau sendiri, sejak dahulu terkenal kerana berjaya melahirkan ramai atlet padang dan balapan hingga mengharumkan nama Sabah dalam kejohanan sukan di peringkat kebangsaan. Justeru menaik taraf KSR itu perlu," katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu beliau berharap agar atlet tempatan terutamanya di Ranau dapat memanfaatkan setiap kemudahan dan prasarana sukan di KSR untuk pembangunan sukan negeri dalam tempoh jangka masa panjang.

Mengenai program Hari Sukan Negara yang diadakan serentak di seluruh negara pada pagi tadi, Ewon berkata, ia membuktikan komitmen tinggi kerajaan dalam mentransformasi Malaysia sebagai negara bersukan.

Lebih seribu penduduk sekitar Ranau menjayakan program berkenaan yang turut diisi dengan pelbagai acara sukan seperti larian, berbasikal, bola jaring, memanah, tarik tali dan boling padang serta payung luncur.