BUKAN rahsia lagi, hubungan pengurus Manchester United Jose Mourinho dan pertahanan kelab itu Luke Shaw ‘bagai retak menanti belah’.

Shaw merasakan dirinya tidak dilayan sewajarnya oleh Mourinho. Serba-serbi yang dilakukannya tidak kena di mata pengurus kelahiran Portugal itu.

Hubungan dingin mereka mencapai kemuncak ketika aksi suku akhir Piala FA menentang Brighton 18 Mac lalu.Keputusan Mourinho mengantikan Shaw dengan Ashley Young hanya selepas 45 minit beraksi ternyata menyentap perasaan pertahanan kebangsaan England itu.

Di bilik persalinan mereka bertegang urat. Shaw menuntut penjelasan Mourinho berhubung tindakannya itu.

“Kenapa kamu selalu salahkan saya” jerit Shaw

“Kerana kamu tidak bertahan seperti sepatutnya,” balas Mourinho.

Menurut The Daily Mail perbalahan mereka boleh didengar dari luar bilik persalinan.

Shaw kecewa kerana tindakan Mourinho telah menjejaskan tempatnya dalam skuad kebangsaan England yang akan beraksi dalam Piala Dunia Rusia 2018 yang akan berlangsung kurang tiga bulan lagi.

Kebimbangannya itu jadi nyata seminggu kemudia napabila dia tidak disenaraikan dalam aksi persahabatan menentang belanda dan Itali.

Namun bagi Mourinho dia ada alasannya tersendiri. Apa guna menyenaraikan pemain yang tidak ikut arahan dan gagal beraksi seperti diharapkan.

Sebelum perlawanan menentang Brighton, Shaw hanya duduk di bangku simpanan ketika The Red Devils menundukkan Liverpool 2-1. Dia juga disisihkan ketika kelab itu tewas kepada Sevilla dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Shaw berhijrah ke Old Trafford dari Southampton pada 2014 dan sejak itu hanya beraksi sebanyak 39 perlawanan tanpa menyumbang sebarang jaringan.