KETUA Pegawai Eksekutif Pahang FC, Fahrizal Hasan mengambil keputusan drastik untuk mengundur diri susulan prestasi merundum pasukan itu musim ini.

Fahrizal memuat naik entri terbaru mengenai pengundurannya dalam media sosial berkuatkuasa serta merta selepas menyuarakan hasratnya kepada pihak pengurusan.

Selepas mengharungi enam perlawanan musim 2016, Pahang hanya mencatatkan satu kemenangan iaitu ke atas T-Team dan terbaru, mereka tersingkir di pusingan ketiga Piala FA susulan kekalahan 1-0 kepada Sime Darby pada Sabtu.

Situasi itu menimbulkan keresahan terhadap para penyokong sehingga mendorong mereka berhimpun di ruang utama Stadium Darul Makmur secara aman sebaik perlawanan dengan Sime Darby berakhir.

Penyokong mendesak Fahrizal untuk tampil memberi penjelasan mengenai masalah prestasi PFC dan selepas beberapa ketika, pengurus pasukan Dato' Che Nasir Salleh tampil bagi menenangkan keadaan dan cuba memuaskan hati penyokong.

"Perlawanan malam ini kita bermain baik, selepas mereka menjaringkan gol tiada lagi peluang yang mereka cipta," katanya mengulas mengenai perlawanan menentang Sime Darby.

Menurut Che Nasir, pihak pengurusan tidak berdiam diri dengan hal sebegini, lebih-lebih lagi Presiden PFC Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang bertungkus-lumus berusaha mengembalikan prestasi pasukan.

Beliau membayangkan presiden mungkin akan membuat makluman sedikit masa lagi mengenai perancangan terdekat pasukan itu.

"Kita dari awal nak menggunakan pemain muda, inilah risikonya. Kalau pemain import kita menyumbat mungkin keputusan seperti ini.

"Dengan pemain harapan kita kena kad merah."

Malah Che Nasir menekankan biarpun pasukan Pahang sedang berdepan dengan masalah prestasi, beliau tetap yakin Pahang tidak akan tergelincir ke Liga Perdana musim depan.

"Melihat kepada semangat para pemain, saya rasa kami tidak akan turun ke Liga Perdana. Setiap hari ada perubahan, macam mana pun kami kena perbaiki kelemahan.

"Kami tidak boleh seperti pasukan lain. Kami perlu berlatih lebih lagi dan cari idea-idea luar."