PERJUANGAN Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk membawa sukan elektronik (e-sukan) ke peringkat tertinggi semakin berhasil apabila kini menjadi antara sukan yang bakal dipertandingkan dalam Sukan SEA Manila 2019.

Setakat ini, sebanyak 56 jenis sukan sudah berada dalam senarai awal untuk dipertandingkan di pentas Sukan SEA 2019, termasuk e-sukan.

Ia diletakkan sebagai sukan dalam kategori tiga yang secara keseluruhan mempunyai 12 acara baru seperti papan selaju, arniss (seni pertahankan diri) dan juga hoki dalam air.

Namun, kata putus hanya akan dibuat selepas Persekutuan Sukan SEA (SGF) bersidang di Manila, 28 November depan.

Dalam situasi itu, Malaysia menyokong penuh cadangan untuk e-sukan menjadi sebahagian daripada temasya Sukan SEA.

"Saya akan berbincang dengan negara-negara luar.

"Sebelum ini, pihak Manila telah bertemu wakil kementerian masing-masing dalam usaha merealisasikan impian ini kerana Asia Tenggara merupakan benua yang paling cepat membangun dalam industri e-sukan," kata Syed Saddiq.