Keputusan yang dibuat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas pasukan Pulau Pinang adalah muktamad walaupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sanggup membayar penalti kepada badan induk dunia itu.

FAM boleh dikenakan penalti sebanyak 65,000 Euro jika ingkar arahan FIFA untuk menolak enam mata dan membenarkan pasukan Harimau Kumbang terus beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Pada Ahad, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) dikenakan pemotongan enam mata oleh FIFA ekoran gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA untuk menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas pertahanan import dari Brazil, Reinaldo Lobo.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata tiada 'pengampunan' daripada FIFA dan enam mata itu tidak dikembalikan kepada pasukan Pulau Pinang walaupun FAM membayar denda tersebut.

"FAM tidak boleh membayar denda dan melanggar arahan jika ia sudah diarahkan oleh FIFA. FAM terpaksa ikut arahan FIFA, bukan bermakna bayar penalti, enam mata boleh tambah balik. Isunya adalah arahan daripada FIFA dan penolakan enam mata terpaksa dibuat," katanya kepada media, hari ini.

Kegembiraan Pulau Pinang yang layak ke Liga Super musim depan bertahan tidak sampai 24 jam apabila mendapat arahan penolakan enam mata daripada FIFA, yang membuatkan pasukan itu jatuh ke kedudukan ketujuh Liga Premier musim ini dengan 24 mata.

Stuart berkata keputusan FIFA jelas muktamad dan tidak boleh diubah walaupun peguam dilantik oleh Lobo telah menghantar surat kepada FIFA untuk menggugurkan kes itu selepas Lobo menerima bayaran penuh daripada FAP.

Untuk rekod, pada 25 Mac lalu, FIFA telah menghantar surat mengarahkan FAP membayar AS$90,000 (RM370,000) bersama faedah lima peratus kepada Lobo.

FIFA juga mengenakan denda tambahan AS$10,000 (RM41,000) kerana kegagalan FAP membuat bayaran seperti yang diarahkan Kamar Penyelesaian Pertelingkahan Kebangsaan (NDRC) (eng: National Dispute Resolution Chamber).

Pada 17 April, FAP telah membuat pembayaran berjumlah AS$92,597.72 (RM386,391.77) ke akaun bank Lobo tanpa pengetahuan FAM dan pada 29 April, peguam dilantik Lobo telah menghantar surat kepada FIFA untuk memaklumkan telah menerima bayaran tersebut namun FAP tidak membuat pembayaran yang sepatutnya iaitu AS$97,041.83 (RM399,379.06).

Pada 28 Jun, FIFA menghantar surat kepada FAM yang memaklumkan bahawa FAP telah gagal membuat pembayaran dalam tempoh yang diberikan dan FIFA meminta bukti pemotongan enam mata liga daripada FAM selewat-lewatnya pada 3 Julai lepas.

Bagaimanapun, FAP pada 1 Julai telah membuat baki bayaran berjumlah AS$4,444.11 (RM18,289) kepada Lobo dan sebagai tindakan susualan, pada 2 Julai, FAM telah menghantar surat rasmi kepada FIFA untuk meminta pandangan mereka serta status permohonan daripada Lobo sama ada hukuman tersebut boleh ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian penerimaan baki pembayaran itu.

"Di sini kita boleh simpulkan daripada kronologi kes ini, keputusan yang dibuat oleh FIFA adalah muktamad walaupun hukuman yang diberikan agak berat. Saya rasa proses rayuan sudah terlepas dan FAM sebenarnya tiada hak merayu dalam hal ini, kes ini antara FAP, Lobo dan FIFA," katanya.

-- BERNAMA