Kerajaan Malaysia tidak membenarkan skuad bola sepak kebangsaan ke Pyongyang, Korea Utara bagi menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara pada 28 Mac ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata arahan berkenaan telah dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, hari ini.

Beliau berkata ia disusuli surat daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ditandatangani Ketua Setiausahanya, Datuk Lokman Hakim Ali yang menyatakan kerajaan Malaysia bersetuju supaya skuad Harimau Malaysia tidak mengambil bahagian untuk perlawanan di Pyongyang atas dasar dan pertimbangan faktor keselamatan.

"Keputusan kerajaan Malaysia itu dibuat selepas perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan baru-baru ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamidin berkata tindakan tidak mengambil bahagian pada perlawanan di Pyongyang itu susulan keputusan kerajaan Malaysia mengusir Duta Korea Utara Kang Chol Sabtu lalu, menjadikan situasi semasa dilihat tidak selamat untuk warga Malaysia berkunjung ke Korea Utara buat masa ini.

Hamidin berkata FAM menghantar surat kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memohon supaya venue perlawanan tersebut ditukar dari Pyongyang ke tempat lain iaitu gelanggang berkecuali atas dasar keselamatan.

"Saya juga menghubungi Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor John yang kini berada di Kemboja bagi memaklumkan harapan FAM supaya AFC memberi pertimbangan sewajarnya dan membuat keputusan segera mengenai venue baharu perlawanan itu bagi memudahkan persiapan perjalanan skuad Harimau Malaysia yang akan memulakan latihan pusat pada 13 Mac ini," katanya.

Sabtu lalu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengisytiharkan Kang Chol sebagai 'Persona Non Grata' dan diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan Malaysia.

Ia susulan tindakan biadap duta itu membuat tuduhan melulu dan tidak berasas terhadap negara ini berhubung siasatan kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Chol, bulan lepas.

Duta itu enggan memohon maaf dan menarik balik kenyataannya walaupun sudah diberi peluang untuk berbuat demikian.

Pembunuhan Kim Chol, yang dilaporkan media dengan meluas sebagai Kim Jong-nam, abang pemimpin utama Korea Utara Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Feb, sebelum beliau berlepas ke Macau.

-- BERNAMA