Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam. Ribuan peminat bolasepak dari serata dunia yang kini berhimpun di beberapa bandar utama di Brazil datang dengan bermacam-macam kerenah.

Setiap kerenah mereka itu bagaimanapun mendedahkan isu yang agak serius iaitu sejauh manakah tahap keselamatan penganjur.

Setakat Rabu, ada tiga insiden yang menconteng arang ke muka Brazil. Tiga insiden itu menyebabkan FIFA menilai semula langkah keselamatan yang diatur oleh penganjur.

Ini adalah tiga insiden berkenaan:

Piala Dunia
Bekas Ratu Cantik Bumbum, Andressa Urach (tengah) diiring keluar oleh pengawal keselamatan ketika pasukan Portugal berlatih di Campinas, Sao Paulo, pada18 Jun. -- AFP PHOTO/Jewel Samad

1. Andressa Urach, bekas peserta pertandingan ratu cantik Brazil, dihalau daripada tempat latihan pasukan Portugal hanya beberapa minit sebelum Cristiano Ronaldo dan rakan-rakannya tiba untuk mula berlatih.

Urach dan Ronaldo ada sejarah, kononnya menurut wanita cantik itu.

Akhbar di Britain tahun lalu melaporkan dakwaan Urach bahawa Ronaldo telah curang kepada teman wanitanya Irina Shayk. Wanita itu mendakwa dia telah tidur dengan Ronaldo. Bintang Portugal itu berang dengan tuduhan tersebut dan melepaskan kemarahannya melalui Twitter.

Urach merupakan hos rancangan televisyen di Brazil dan sejak minggu lalu cuba menarik perhatian bintang bolasepak itu di semua lokasi pemain itu berada.

Pada Rabu dia datang ke lokasi latihan Portugal. Dia datang dengan membawa mikrofon dan memakai akreditasi media. Selepas diusir oleh pegawai keselamatan, Urach menulis di Twitter: "Saya datang untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada C7 (Ronaldo) tetapi diusir dari padang dan mereka mengambil akreditasi media saya. Di mana kebebasan media?"

Brazil Piala DUnia
Seorang penyokong Lionel Messi warga Brazil bernama Denis ditahan setelah dia menceroboh masuk ke kem latihan skuad Argentina di Vespasiano. -- AFP PHOTO / Juan Mabromata

2. Tidak lama selepas insiden itu, pecah berita pihak berkuasa Brazil menahan seorang lelaki yang menyelusup masuk ke pusat latihan pasukan Argentina. Lelaki itu dikatakan cuba mendapatkan tanda tangan Lionel Messi.

Dia minggu lalu mendapat sehelai baju T daripada Messi selepas mencuci kasut bintang Barcelona itu. Kepada polis dia memberitahu dia hanya mahukan tanda tangan pemain itu, katanya sambil teresak-esak menangis.

Dunia Piala
Penyokong Chile yang berjaya menceroboh masuk stadium tanpa tiket merempuh pembahagi tempat duduk media ketika perlawanan Sepanyol bertemu Chile pada 18 Jun. -- AFP PHOTO / YASUYOSHI CHIBA
3. Masalah pihak penganjur tambah rumit apabila sejumlah penonton Chile yang tidak bertiket merempuh Stadium Maracana di Rio de Janeiro untuk menyaksikan perlawanan pasukan negara mereka dengan Sepanyol pada awal pagi Khamis. Chile menang 2-0 dan memalukan Sepanyol yang tersingkir selepas kalah juga sebelum ini kepada Belanda 5-1.

Penyokong Chile itu memecahkan pintu kaca pusat media dan memecahkan pagar. 85 orang ditahan oleh pihak berkuasa Brazil. Mereka semua diperintah keluar meninggalkan negara itu.

FIFA menafikan ada penceroboh yang terlepas ke tempat duduk penonton. Pihak pengawal keselamatan bagaimanapun mengatakan ada sebahagian penceroboh yang bolos.

World Cup Chile
Peminat bola sepak Chile diiring keluar oleh polis. -- AP Photo/Frank Augstein

Kejadian itu berlaku biarpun ada 1,500 kakitangan keselamatan di stadium itu serta 5,000 anggota polis di kawasan sekitarnya, lapor AFP.

Stadium berkenaan adalah lokasi perlawanan akhir yang dijadual akan berlangsung pada 13 Julai nanti.

Ini kejadian kali kedua di stadium itu. Pada Ahad lepas, sekumpulan penyokong Argentina merempuh pintu masuk menjelang perlawanan Argentina menentang Bosnia. Sembilan orang ditahan.

Selain penonton yang menceroboh, ada juga yang kreatif mencari jalan masuk. Empat warga Argentina lepas masuk dengan menyamar sebagai wakil sebuah syarikat yang ada hubungan niaga dengan FIFA.

Kejadian berlaku semasa perlawanan pembukaan Piala Dunia antara Brazil dan Croatia.

Empat orang itu diberikan tiket VIP selepas mereka "memperkenalkan diri". Mereka sempat mengambil gambar dengan bintang bolasepak lagenda Brazil, Ronaldo. Helah empat orang itu bagaimanapun terbongkar kerana pakaian mereka yang nampak tidak kena gaya berbanding dengan VIP yang lain.