Meneruskan sokongan terhadap pembangunan sukan tempatan, Astro hari ini menandatangani perjanjian strategik dengan Persatuan Badminton Malaysia BAM, sekali gus menjamin kerjasama berterusan badan induk badminton negara itu terhadap program anjuran Kem Badminton Astro.

Ia juga satu bentuk sokongan teknikal untuk Astro Junior Championship bawah 15 tahun, yang turut dilancarkan pada Khamis.

Majlis pelancaran dan menandatangani perjanjian berlangsung di Kuala Lumpur, serta disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Tidak ramai pihak yang mahu turun padang membantu pembangunan sukan di peringkat akar umbi. Selalunya apabila sudah berjaya, barulah ramai yang tampil mahu memberi bantuan dan penajaan.

"Saya puji langkah yang diambil Astro dan saya yakin ini akan menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan badminton," kata Syed Saddiq.

Astro pula melihat tanggungjawab sosial yang dijalankan selama enam tahun menerusi Kem Badminton Astro, membuahkan hasil apabila bakat-bakat baharu yang ditemui daripada program tersebut, sudah menempa banyak kejayaan.

"Sebagai contoh, di Sekolah Sukan Bukit Jalil, 70 peratus atlet badminton di situ adalah peserta Kem Badminton Astro. Kita juga berjaya melahirkan bakat seperti Jacky Kok Jing Hong, yang telah merangkul banyak gelaran di peringkat Asia," kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan.

Kejohanan Astro Junior Championship bawah 15 tahun yang julung kali diadakan ini disertai 32 pasukan dari seluruh negara dan akan berlangsung selama empat hari bermula 6 hingga 9 September.

Juara dan naib juara akan mewakili Malaysia ke kejohanan peringkat Asia Tenggara, November ini.

Astro Junior Championship merupakan kesinambungan daripada kejayaan program Astro Kem Badminton hasil kerjasama antara Yayasan Astro Kasih, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan BAM, yang sehingga kini telah memberi manfaat kepada lebih 15,000 pemain badminton remaja sejak dilancarkan pada tahun 2012.