Jaguh bina badan negara, Sazali Samad terpaksa menunggu sehingga 2019 sebelum kembali semula ke pentas antarabangsa selepas Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) menolak rayuan kedua yang difailkan atlet berkenaan, hari ini.

Jawatankuasa Rayuan PBBM yang dipengerusikan Naib Presiden PBBM, Datuk Masood Zainal Abidin, sebulat suara menolak rayuan kedua yang difailkan Juara Mr Universe 10 kali itu selepas mendapati justifikasi yang dinyatakan Sazali dalam surat rayuannya tidak kukuh.

Keputusan tersebut menyaksikan Sazali akan meneruskan hukuman penggantunggannya sehingga September 2019.

Setiausaha Kehormat PBBM, Kamaruzaman Kadir berkata keputusan itu adalah muktamad memandangkan Sazali menggunakan bahan terlarang jenis steroid.

"Alasan rayuan kedua iaitu merujuk kes doping angkat berat sebagai contoh adalah tidak bersesuaian memandangkan sukan angkat berat dan bina badan adalah berbeza," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

PBBM pada 31 Mac lalu menolak rayuan yang dikemukakan Sazali pada 9 Januari selepas digantung empat tahun oleh PBBM ekoran gagal dalam ujian doping kendalian Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September 2015.

Sazali gagal dalam ujian doping apabila bahan terlarang jenis steroid yang terkandung dalam sampel air kencingnya dalam ujian sebelum menyertai satu pertandingan antarabangsa pada 1 Sept lepas. -- BERNAMA