BEKAS pemain perseorangan nombor satu dunia, Roslin Hashim, berharap kesihatan Datuk Lee Chong Wei, dapat pulih sepenuhnya di samping tidak terlalu memikirkan masa depannya selaku pemain badminton negara.

Malaysia masih lagi dikejutkan dengan perkhabaran masalah kesihatan yang dialami Chong Wei.

Pemain perseorangan negara itu didiagnosis menghidap kanser hidung dan kini menjalani proses rawatan dan pemulihan di Taiwan.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, mengesahkan sebaik Chong Wei pulih, dia akan kembali ke tanah air.

Dengan status Chong Wei akan kembali ke gelanggang bagi mengharumkan nama negara menjadi perbualan utama, Roslin berpandangan perkara itu tidak seharusnya dibincangkan pada masa ini, sebaliknya mengharapkan pemain itu sembuh seperti sediakala.

"Buat masa ini, kami tidak perlu memikirkan kebarangkalian Chong Wei untuk kembali gelanggang kerana perkara paling utama adalah pulih sepenuhnya.

"Kembali beraksi mampu menjadi semangat buat Chong Wei tetapi mencapai tahap tertinggi bukanlah sesuatu yang perlu dijadikan persoalan.

"Walaupun mengetahui atlet-atlet seperti Chong Wei ataupun Lance Armstrong (atlet berbasikal antarabangsa yang mengalami kanser testikel) yang berada pada tahap elit tetapi boleh menerima masalah kesihatan ini. Pada pendapat saya, faktor pemakanan jangka panjang mampu menjejaskan sesiapa sahaja," kata Roslin dalam temubual nadi@1, hari ini.

Roslin turut menjelaskan Malaysia perlu menerima hakikat jika Chong Wei berhasrat untuk bersara daripada arena badminton.

"Suatu hari nanti, Chong Wei akan bersara, cuma buat masa ini semua orang tidak boleh membayangkan sukan badminton tanpa pemain nombor satu negara ini.

"Mengenai persediaan menghadapi situasi ini, BAM seharusnya mengatur perancangan jangka panjang bagi menerima hakikat seseorang pemain akan bersara," tambahnya.

Roslin menganggap masa yang panjang amat diperlukan bagi melahirkan perseorangan yang memiliki taraf yang sama seperti Chong Wei sementara mengharapkan pemain-pemain yang dianggap sebagai sandaran perlu meningkatkan lagi kualiti mereka.

"Secara jujurnya, mencari semula pemain perseorangan bertaraf Chong Wei memerlukan jangka masa panjang. Buat masa ini, Malaysia memiliki sandaran seperti Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Tan Jia Wei. Mereka dilihat sebagai pengganti tetapi berdasarkan pencapaian, mereka masih lagi ketinggalan," katanya.