Bulan Sukan Negara yang membuka tirai pada 1 Oktober, menyasarkan penyertaan lima juta penyertaan dari seluruh negara, merangkumi pelbagai acara sukan di peringkat daerah dan negeri.

Mengetengahkan elemen 3M iaitu murah, mudah dan menarik, acara tahunan ini akan diisi aktiviti sukan, rekreasi dan kecergasan berbentuk pertandingan, persembahan dan riadah.

Tahun ini, fokus diberi kepada memastikan konsistensi penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan, selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara sukan menjelang 2020.

"Untuk menyemai budaya sukan, kita perlu pastikan kita mempunyai banyak program. Kerana itu kita mempunyai lebih daripada 1,000 program bagi tempoh masa sebulan ini.

"Kita ada konvensyen sukan yang tidak hanya melibatkan industri sukan, kita juga ada sesi round table berkenaan masa depan atlet-atlet wanita secara amnya, dan banyak diskaun dengan sektor swasta dan kerajaan," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau ditemui selepas acara pelancaran serta pengumuman rakan rasmi Bulan Sukan Negara 2019 di Putrajaya, pada Selasa.

Kemuncak penganjuran program ialah sambutan peringkat kebangsaan di Bukit Jalil pada 12 Oktober, yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.