Berita  |  Sukan

Ketiadaan dua 'awang' import jejas pasukan T-Team

Ketiadaan dua 'awang' import jejas pasukan T-Team
Farhod Tadjiyev (gambar) dan Dilshod Sherofetdinov terpaksa pulang ke Uzbekistan untuk memperbaharui visa yang akan tamat tempoh. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU: Ketiadaan dua tonggak import sedikit menjejaskan persiapan pasukan T-Team apabila bertemu Selangor dalam aksi Liga Super di gelanggang sendiri, minggu depan.

Ia berikutan 'awang' import pasukan itu Farhod Tadjiyev dan Dilshod Sherofetdinov terpaksa pulang ke Uzbekistan untuk memperbaharui visa yang akan tamat tempoh, dan terlepas daripada mengikuti sesi latihan sepanjang menguruskan visa di negara kelahiran mereka.

Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan bagaimanapun yakin kedua-dua pemain berkenaan sempat beraksi pada perlawanan itu nanti.
"Mereka terpaksa pulang ke negara mereka, Ahad lalu untuk satu tempoh mungkin seminggu atau lebih seminggu...saya tidak pasti. Ia sedikit merencatkan persiapan pasukan dan merisaukan kita," katanya kepada pemberita, di sini.

Situasi berkenaan jelas menambah keresahan pengendali dari Indonesia itu terhadap tahap kecergasan dua tonggak importnya itu, lebih-lebih bagi menghadapi Selangor.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan prestasi seorang lagi pemain import, Mamadou Samassa, 31, yang mula menunjukkan keserasian bersama rakan sepasukan.

"Malah, beliau juga sudah dapat menyesuaikan diri dengan cuaca di negara ini," katanya.

Sementara itu, Rahmad menuntut barisan pemainnya supaya kekal fokus bagi memburu tiga mata penuh apabila bertemu Selangor, kelak.

-- BERNAMA