Ketiadaan klausa untuk memotong gaji pemain, jika mereka mempamerkan prestasi kurang memuaskan dalam kontrak yang ditandatangani di antara pemain dan pihak pasukan Liga Malaysia, akan merugikan pasukan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa berkata, pihak pengurusan pasukan kini tidak boleh memotong sebahagian bayaran kepada pemain, walaupun seseorang pemain itu gagal mencapai petunjuk indeks prestasi (KPI) yang ditetapkan.

"Dua tahun lepas dalam kontrak ada mengenai prestasi dan KPI dalam kontrak, tetapi MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dah buang pada 2019, hanya ada mengenai disiplin. Jadi kita tidak tahu bagaimana nak memastikan pemain beri yang terbaik.

"Sebelum ini kita pernah hantar surat kepada pemain luar negara, dia hantar balik surat menerusi peguam memberi amaran kepada kita, kerana tidak termaktub dalam kontrak. Jika ia melibatkan pemain import yang menerima gaji puluhan ribu Ringgit, memang merugikan kita dan tidak adil buat pasukan," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani kontrak di antara KLFA dan pemain pasukan Liga Premier Kuala Lumpur bagi musim 2020, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Rabu.

Skuad 'The City Boys' pada musim lepas menghadapi masalah prestasi daripada penyerang import dari Brazil, Guilherme de Paula, manakala rakan senegaranya, Junior Aparecido menimbulkan masalah pada musim 2018.

-- BERNAMA