Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mencadangkan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) melaksanakan proses penjualan tiket secara dalam talian sepenuhnya sebagai usaha mengelakkan isu tiket tidak mencukupi berulang pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Aminuddin Omar berkata langkah seumpama itu boleh memastikan isu ketidakpuasan hati dalam kalangan penyokong tidak timbul berbanding seperti yang pernah berlaku semasa perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) 4 Nov lepas.

"Kita akan mohon kepada FMLLP cadangan kita ini bagi semua perlawanan termasuk final...kita hendak biar selepas ini FMLLP sendiri yang jual semua tiket secara dalam talian," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbelanjaan Negeri 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Aminuddin yang juga Setiausaha Kehormat KFA berkata sehubungan itu, satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif KFA akan diadakan sebelum perkara itu dibawa kepada pihak FMLLP untuk dipertimbangkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata isu penjualan tiket itu timbul apabila ratusan penyokong Kedah berkumpul di hadapan pejabat KFA bagi menyatakan kekecewaan mereka kerana tidak mendapat tiket menonton perlawanan akhir Piala Malaysia itu.

Beliau berkata bagaimanapun penjualan tiket perlawanan akhir itu dibuat secara telus dan tidak membabitkan campur tangan politik seperti didakwa sesetengah pihak.

"Saya ingat tak timbul isu (campur tangan politik) itu di Kedah sebenarnya, tetapi ia hasil 'tukang cucuk' dan 'boh api' timbul perkara ini," katanya.

Aminuddin menarik perhatian pihaknya sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu penjualan tiket berkenaan untuk menjamin ketelusan persatuan itu.

Sidang Dewan sebelum itu kecoh seketika apabila Mohd Nasir Mustafa (PAS-Kubang Rotan) sering kali membangkitkan soal penjualan tiket yang dikatakan dijual menggunakan saluran politik hingga beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bangkit menggesa ADUN pembangkang itu menarik balik dakwaan berkenaan.

Antaranya ADUN Pantai Merdeka Datuk Ali Yahya, ADUN Jeneri Mahadzir Abdul Hamid dan ADUN Bukit Lada Datuk Ahmad Lebai Sudin sehingga menyebabkan Speaker DUN Kedah Datuk Mohd Rozai Md Shafian menenangkan keadaan.

-- BERNAMA