Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai setelah berakhir fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 28 April ini.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris, menerusi hantaran terbaharu dalam Facebooknya, berkata kelewatan pembayaran gaji kepada pemain dan pegawai skuad Lang Merah disebabkan pihak penaja KFA berdepan masalah kewangan susulan tempoh PKP dilanjutkan, dan memberi kesan kepada perniagaan mereka.

Mohd Asmirul, yang merupakan anggota exco kerajaan negeri, menegaskan keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah menyelesaikan kesemua bajet rangsangan ekonomi serta bantuan keperluan kepada rakyat untuk menampung kos sara hidup susulan PKP.

"Misi menaik taraf keperluan kesihatan serta menyelamatkan nyawa rakyat menjadi keperluan yang amat penting. Kerajaan Kedah memfokuskan kepada pematuhan PKP ini dititikberatkan sehinggalah kita berjaya mengekalkan lima hari (10-14 April) berturut-turut tiada kes baharu COVID-19.

"Bola sepak sebagai sukan yang paling diminati di Kedah tidak akan dipinggirkan. Ia kini berada di agenda kedua langkah penyelesaian setelah pihak penaja menghadapi kekangan ketika kegawatan ekonomi," jelas Mohd Asmirul.

-- BERNAMA