Berita  | Sukan

KFA setuju penuhkan kuota pemain import demi Lang Merah

KFA setuju penuhkan kuota pemain import demi Lang Merah
Ahmad Bashah berkata dakwaan berhubung jumlah gaji pemain Kedah yang tular dalam laman sosial baru-baru ini adalah tidak benar. - Gambar fail
ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bersetuju untuk memenuhkan kuota pemain import kelima yang juga kuota Asean, bagi membantu pasukan Lang Merah mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2018.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata persetujuan untuk memenuhkan kuota pemain import telah diberikan, namun pemilihan pemain akan dibuat oleh jurulatih Ramon Marcote dan pengurusan KFA.

"Bila jurulatih dan pengurusan KFA mencadangkan perkara itu, saya lihat ia adalah keperluan untuk memenuhkan kuota pemain import bagi membantu memperkemaskan lagi pasukan.
"Saya tidak tahu siapa yang akan dipilih dan serahkan kepada jurulatih serta pengurusan KFA untuk buat pemilihan dan saya akan lihat prestasi pemain import itu nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis Pemberian Cermin Mata Percuma Kepada Rakyat di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian bagi menjawab soalan berhubung spekulasi bekas pemain Selangor, Andik Vermanshah yang bakal menyertai skuad Lang Merah untuk memenuhi kuota pemain Asean.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata dakwaan berhubung jumlah gaji pemain Kedah yang tular dalam laman sosial baru-baru ini adalah tidak benar.

"Kita tidak tahu benda (gaji) itu daripada siapa, namun kita akan siasat. Tapi ia tidak benar dan saya minta semua penyokong supaya jangan mudah percaya dengan perkara seperti ini yang dilihat ada niat tersembunyi," katanya.

BACA: PFAM selar tindakan individu tular gaji pemain Kedah

-- BERNAMA