ANTONIO Conte menyifatkan dirinya tidak terganggu dengan laporan bahawa pengurus Napoli, Maurizio Sarri, kini menjadi sasaran utama Chelsea untuk menggantikan tempatnya di Stamford Bridge.

Conte dijangka meninggalkan The Blues selepas mengharungi musim yang sangat teruk, di dalam dan di luar padang.

Walaupun bergelar juara pada musim lalu, Chelsea tidak mampu untuk mencabar dan mempertahankan gelaran itu pada musim ini dan mereka juga berkemungkinan besar terlepas tiket Liga Juara-Juara, musim depan.

Keberanian Conte mengkritik polisi perpindahan yang diamalkan oleh pasukannya jelas tidak membantu menyelesaikan kemelutnya di England, membuatkannya dijangka meninggalkan pasukan sebaik sahaja tamat musim ini.

Sementara Sarri yang melakukan tugas dengan baik bersama Napoli disebut-sebut bakal menggantikan tempat bekas pengendali Juventus itu tetapi Conte tidak berminat untuk membincangkan perkara itu.

“Saya rasa bukan tugas saya untuk menjawab soalan sebegini,” kata Conte ketika sidang media menjelang pertemuan dengan Southampton di tempat lawan.

“Kerja saya adalah menjaga pemain-pemain dan menamatkan musim di tempat paling baik.

“Walaupun anda kelihatan lebih tahu tentang spekulasi itu, ia sentiasa berlaku kepada semua pengurus. Bukan hanya saya tetapi ramai pengendali yang menghadapinya.

“Ini adalah tugas kami. Bagi saya, apa yang penting adalah fokus kepada Chelsea dan cuba untuk menamatkan saingan musim ini di kedudukan sebaik mungkin.”

Pemain tengah Chelsea, Danny Drinkwater, baru-baru ini mendedahkan dirinya bakal mencari haluan baru pada musim depan selepas hanya beraksi dalam kesebelasan utama sebanyak lima kali sejak tiba dari Leicester City, Ogos tahun lalu.

“Saya rasa Drinkwater melalui musim yang mengecewakan kerana dia memulakan saingan musim ini dengan masalah kecederaan dan selepas itu masalah terus menghantuinya.

“Sudah tentu dia merasakan dirinya tidak meraih kempen yang bagus tetapi kita sedang bercakap tentang pemain tengah yang baik. Saya percayakannya.”