JUARA lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov bakal berdepan Dustin Poirier bagi mempertahankan kejuaraannya di acara UFC 242 yang akan berlangsung pada 7 September di Abu Dhabi.

Baru-baru ini President UFC, Dana White berkata tiada sekatan dari pihaknya jika Conor McGregor ingin pergi ke Abu Dhabi untuk melihat pertarungan antara Khabib dan Poirier.

Susulan kenyataan itu, Khabib memberi amaran terhadap McGregor agar tidak membuat sebarang kekacauan jika dia berkeputusan untuk ke Abu Dhabi.

"Ia lebih sukar untuk lari dari Abu Dhabi berbanding New York," kata Khabib kepada saluran TV Rusia Rossiya-24 seperti yang dilaporkan agensi berita Rusia TASS.com.

BACA: 'Saya tiada masalah McGregor turun ke perlawanan Khabib-Poirier' - Presiden UFC

"Jika dia (McGregor) bercadang untuk datang, dia harus duduk dan lihat sahaja pertarungan itu kerana adalah mustahil jika dia ingin membuat sebarang kekacauan di sana.

"Abu Dhabi bukanlah tempat untuk menunjuk-nunjuk. Jika dia mahu hadir, dia boleh berbuat demikian tetapi helah kekacauannya tidak akan menjadi di sini," tegas Khabib.

Sebagai rekod, pada April 2018 McGregor bersama 20 yang lain pernah menyerang bas yang dinaiki Khabib.

Kejadian berlaku semasa Khabib ingin meninggalkan Barclays Center di Brooklyn, New York.

Akibat serangan tersebut, McGregor telah ditahan pihak berkuasa New York dan akhirnya dia diperintahkan untuk melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat selama lima hari dan menghadiri kelas pengurusan kemarahan.