Penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat bakal berdepan saingan sengit bagi mendapatkan posisi selaku penjaga gol utama skuad kebangsaan selepas beliau dipanggil semula bagi menyertai pasukan negara dalam perlawanan persahabatan 22 Mac ini, dan aksi terakhir Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan di Beirut, 27 Mac ini.

Khairul Fahmi berkata walaupun beliau penjaga gol paling senior dipanggil ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe, namun ia bukan laluan mudah untuk beliau berada dalam kesebelasan utama bagi mengisi posisi berkenaan.

"Saya akan bersaing dengan Haziq Nadzli (penjaga gol Johor Darul Ta'zim) dan Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (penjaga gol Perak) bagi posisi tersebut pada dua perlawanan yang bakal dilalui pasukan negara," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Kali terakhir pemain berusia 29 tahun itu menyarung jersi kebangsaan adalah pada Kejohanan Piala AFF Suzuki di Filipina, dua tahun lalu.

Khairul Fahmi juga bersyukur kerana kembali diberi peluang menyarung jersi kebangsaan kerana dalam saingan Liga Malaysia musim ini mempunyai ramai penjag gol berkualiti.

"Mungkin ini rezeki keluarga dan anak saya. Saya berterima kasih kepada ketua jurulatih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menyumbang khidmat kepada negara pada dua perlawanan tersebut," katanya.

Khairul Fahmi berkata dalam tempoh yang ada, beliau akan bekerja keras bagi membalas kepercayaan diberikan itu dalam latihan bersama pasukan Kelantan mahupun latihan pusat skuad kebangsaan nanti.

Mengulas pertemuan Kelantan menentang PKNS FC pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini, beliau mahu rakan sepasukannya menampilkan prestasi terbaik bagi menewaskan pasukan lawan itu.

"Dalam saingan Piala FA musim ini, saya harap kami boleh melangkah ke peringkat seterusnya bagi mengembalikan kecemerlangan bola sepak Kelantan," katanya.

-- BERNAMA