PENGENDALI skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, percaya pasukannya mampu melepasi halangan kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020 bulan ini selepas dapat membentuk skuad terbaik dengan kehadiran empat pemain tonggak.

Kim Swee sebelum ini dihimpit isu perebutan pemain dengan skuad Harimau Malaya.

Ini susulan empat pemain, Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Syahmi Safari, turut boleh dipanggil menyertai skuad bimbingan Tan Cheng Hoe.

Namun, skuad muda negara diberi keutamaan untuk tugasan kali ini, dengan empat pemain itu sah memperkuat pasukannya menerusi pengumuman senarai 27 pemain pada Selasa.

"Dengan kehadiran skuad terbaik, ia meningkatkan peluang kami melangkah ke pusingan seterusnya. Kehadiran empat tonggak utama akan melonjakkan mutu pasukan," kata Kim Swee.

Skuad muda negara akan menjalani latihan selama tujuh hari sebelum diuji dalam satu perlawanan persahabatan bertemu skuad B-22 Australia, 17 Mac ini.

Kim Swee selepas itu akan menamakan senarai akhir 23 pemain bagi membawa cabaran Malaysia dalam kempen kelayakan yang akan berlangsung dari 22 hingga 26 Mac.

"Kami mahu memperbaiki kelemahan yang pernah ditampilkan ketika beraksi sebelum ini. Berdepan skuad B-23 Australia akan menjadi medan terbaik menguji keberkesanan pasukan."

Barisan 27 pemain:

Muhammad Haziq Nadzli, Dominic Tan Jun Jin, Syamer Kutty Abba, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Muhammad Safawi Rasid, Mohamad Hariz Kamarudin (JDT), Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhammad Danial Haqim Draman, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni, Nik Azli Nik Alias, Damien Lim Chien Khai (Kelantan), Kogileswaran Raj, R. Dinesh, Mohamad Faisal Abdul Halim (Pahang), Muhamad Azri Ab Ghani, Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir, Muhammad Danial Amier Norhisham (Felda United), Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew, Ariff Ar-Rasyid Ariffin (PKNS FC), Evan Wensley Wenceslaus, Ariusdius Jais (Sabah), Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (Fagiano Okayama) K. Thivandaran (PJ City FC), Muhammad Amirul Ashraf Ariffin (UiTM FC), Muhammad Nazirul Afif Ibrahim (Perak), Muhammad Izzan Syahmi Mustapa (Terengganu FC II) dan Muhammad Syahmi Safari (Selangor).