Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee memanggil empat pemain daripada senarai menunggu untuk menyertai kem latihan ke Sukan Asia 2018.

Menurut kenyataan ringkas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), empat pemain tersebut ialah Adib Zainudin daripada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Akhyar Rashid (Kedah), M. Kogileswaran Raj (Pahang) dan Syahmi Safari (Selangor).



Mereka akan menyertai kem latihan yang akan bermula Isnin ini, bersama senarai awal 24 pemain yang dipanggil Kim Swee sebelum ini, bagi persiapan menghadapi Sukan Asia di Indonesia bermula 10 Ogos depan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan E, bersama-sama juara bertahan Korea Selatan, Kyrgyzstan, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

-- BERNAMA