MAJLIS Sukan Negara (MSN) mengesahkan Datuk Ong Kim Swee bakal bertindak selaku ketua jurulatih skuad bola sepak negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas mesyuarat jawatankuasa bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pada Selasa.

Ketua pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata Kim Swee turut hadir mesyuarat tersebut bersama-sama Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Tambahnya, FAM sudah ada pelan tersendiri untuk skuad bawah 22 tahun di Sukan SEA seperti mengadakan latihan pusat jangka panjang.

Ketika ditanya Nadi Arena secara mendalam perancangan skuad bawah 22 tahun , Shapawi hanya menyerahkannya kepada FAM untuk memberi maklumat secara menyeluruh.

"FAM dan pihak persatuan negeri telah membuat perbincangan mengenai program latihan sebagai persiapan menghadapi temasya ini," kata Shapawi.

Dia ditemui pada majlis tandatangan memorandum perjanjian persefahaman program One State University One Centre bersama MSN dan Universiti Industri Selangor (UNISEL).

Melalui program itu, semua atlet negeri Selangor dan kebangsaan berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi selain mengekalkan kesinambungan latihan di tempat pengajian.