Cuaca panas yang mencecah 31 darjah Celsius pasti menjadi musuh utama pasukan negara, namun jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, memberi jaminan Harimau Malaysia sudah bersedia memberi tentangan sengit kepada Fiji dalam aksi persahabatan esok.

"Semua pemain dalam keadaan yang cukup baik. Kami sempat menjalani dua sesi latihan di sini.

"Saya sudah katakan berulang kali, pasukan Fiji mahupun New Caledonia, Papua New Guinea dan pasukan-pasukan Oceania ini bertambah baik.

"Fiji tidak banyak beza dengan Papua New Guinea dan New Caledonia. Jadi, kami terpaksa bermain dengan prestasi yang lebih baik jika inginkan keputusan yang lebih positif.

"Banyak perkara yang kami perlu hadapi, termasuk cuaca dan padang," katanya.

Kim Swee turut mendedahkan selepas Jelajah Oceania, pasukan kebangsaan sudah mengatur beberapa perlawanan untuk memastikan skuad negara terus mencapai peningkatan.

"Kami mempunyai perancangan selepas ini di mana pada bulan September, kemungkinan kami akan menentang Indonesia di tempat lawan.

"Pada bulan Oktober, kami akan bermain dalam dua perlawanan lagi, iaitu menentang Singapura di tempat lawan dan Afghanistan di Kuala Lumpur."