ENAM tahun lalu, seorang anak muda tempatan bernama Mohammed Mahmoud merasai pengalaman pertamanya dalam Seni Lapan Anggota atau Muay Thai.

Mohammed menyaksikan sukan itu menerusi kaca televisyen dan komputernya dan sejak itu dia terus tertarik dengan sukan tersebut.

Kini, Mohammed, 22 tahun yang diberi jolokkan nama 'Jordan Boy', telah menjadi petinju sensasi terbaharu negara dalam arena seni mempertahankan diri.

“Saya mula menonton Muay Thai sejak berusia 16 tahun melalui YouTube dan televisyen setiap kali ada peluang,” katanya sambil mengimbau waktu dia mula-mula berjinak dengan seni itu.

“Selepas tamat sekolah menengah, saya beritahu ayah saya, Mahmoud Omar, saya ingin menyertai gim dan beliau menggalakkan saya untuk berbuat demikian. Beliau sangat teruja sehingga mahu menghantar saya ke gim dan melihatnya sendiri.”

“Tempatnya tidak jauh dan ayah terkejut kerana ia bukannya gim biasa, sebaliknya, sebuah gim yang dipanggil Sampuri Muay Thai, yang terletak di tengah ibu kota.

“Beliau terkejut. Kerana pada awalnya beliau fikir saya akan pergi ke gim bina badan untuk membesarkan badan,” kata Mohammed sambil ketawa.

“Ayah kemudian memandang saya dan mengingatkan saya untuk menyertai sukan itu hanya untuk berlatih dan tidak menggunakannya di dalam gelanggang.”

Perjalanan seni mempertahankan diri saya bermula pada pertengahan 2014. Beliau berlatih lima kali seminggu selama dua jam dan ia ternyata lebih mencabar
dari apa yang dibayangkan.

“Pada mulanya ia sangat sukar. Kami mencampurkan latihan kardio dengan sesi menumbuk dan menendang.

“Saya hanya bermain bola sepak dan berlari marathon ketika di alam persekolahan dan ini (Muay Thai) adalah sesuatu yang baharu untuk saya," katanya.

Keadaan menjadi semakin sukar, apabila ketua jurulatihnya Putera Sampuri dan Rania Sampuri, sering memberikan beliau rakan berlatih yang berkemahiran tinggi selama hampir sebulan dalam sesi latihannya.

“Ada kalanya saya merasakan mereka seperti mau menghalau saya daripada gim,” katanya.

Namun, ia sebenarnya satu 'hikmah' untuknya kerana berlatih dengan orang yang lebih bagus, membuatkan dirinya cepat mahir dalam sukan itu.

Selepas berjaya berlawan dengan ahli gim yang lebih berpengalaman, jurulatih MOhammed kemudian memintanya untuk bertanding dalam perlawanan amatur.

Waktu itu, Mohammed baharu saja berlatih selama enam bulan.

Anak muda itu pada mulanya berminat dengan tawaran berkenaan, namun kemudian menolaknya, kerana sudah berjanji dengan ayahnya untuk tidak menggunakan kemahirannya untuk bertanding.

"Saya kemudian mencuba nasib sebaik tiba di rumah pada malam itu, namun ayah tetap dengan pendiriannya,” katanya.

Jurulatih Mohammed tidak berputus asa dan selepas berbincang dengan ayahnya, beliau akhirnya tukar fikiran.

'Jordan Boy' berlatih sehingga lima jam sehari untuk perlawanan besar, malah, beliau juga sering tidur di gim.

“Saya tidak boleh tidur, malah, ketika pemeriksaan kesihatan, doktor menasihatkan saya supaya tidak berlawan,” jelasnya.

“Saya mengingkari arahan doktor tanpa memikirkan akibatnya.” Nasib bagaimanapun menyebelahinya, apabila pertaruhannya ternyata berhasil.

Mohammed menjatuhkan lawannya pada pusingan pertama menerusi tendangan 'knockout' di kepala.

“Saya amat teruja sampai saya sempat melakukan tarian pelik di dalam gelanggang,” katanya.

“Kemudian saya memandang ke arah ayah dan mengucapkan terima kasih kerana sudah memberikan kepercayaan kepada saya. Saya juga turut mengalirkan air mata.”

BACA: Jordan Boy menang pertarungan sulung di ONE Championship

BACA: 4 perkara anda perlu tahu tentang Jordan Boy

Sejak malam bersejarah itu, Mohammed menambah rekod profesionalnya kepada 30-2-1. Malah, beliau turut merangkul beberapa gelaran termasuk tiga tali pinggang Kuda Merah, dua tali pinggang tinju tendang STAND SABAH dan satu tali pinggang kejuaraan Sampori Muay Thai.

Semua kejayaan yang dikecapi itu cukup untuk menarik perhatian organisasi terbesar dunia seni mempertahankan diri.

“Ayah memberitahu saya, ONE Championship mahu saya bertarung di ONE Super Series. Pada mulanya saya tidak percaya.

“Beliau kemudian menunjukkan pesanan teks yang dihantar (eksekutif ONE Championship) Ann Osman kepadanya dan saya terus berlari keliling rumah kerana
sangat teruja.”

Selepas permulaan yang sukar dalam kerjaya Muay Thai beliau, Mohammed menantikan saat untuk impiannya bermula di ONE Championship.