Pengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee akur dengan kekalahan anak buahnya di tangan Jepun 0-4 sekaligus gagal melangkah ke suku akhir di Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2015 di Gwangju.

"Kita masih lagi jauh ke belakang, corak permainan kita baik dari segi teknik dan teknikal tetapi kematangan skuad Jepun lebih menyerlah," kata Kim Swee.

Pada perlawanan terakhir Kumpulan C menentang Jepun, Gawang skuad negara bolos pada minit ke-25 menerusi jaringan Ryuji Sawakami sebelum penyerang skuad utama bawah 21 tahun jepun itu sekali lagi mencetak gol pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, skuad negara terus gagal beri saingan apabila giliran Yasuki Kimoto meletakkan Jepun selesa pada minit ke 64 sambil Tatsuya Hasegawa melengkapkan kemenangan bergaya 4-0 pada minit-minit akhir perlawanan.

Kemenangan Jepun ke atas skuad negara menyaksikan pasukan itu muncul juara Kumpulan C sambil anak buah Kim Swee yang menamatkan saingan di kedudukan ketiga hanya akan beraksi dalam penentuan tempat ke-9 sehingga ke-16.

"Walaupun kita tak layak kerana menghuni tempat ketiga dan bakal berdepan pasukan Mexico yang kuat, ia bukan mudah tapi kita harus bersungguh-sungguh untuk dapat 12 tempat terakhir," kata Kim Swee lagi.

Kekalahan besar 4-0 ke atas Jepun menyaksikan Malaysia kini terkeluar dari saingan acara bola sepak.

Sementara itu, Jepun dan Brazil yang membenam Iran 5 - 2 mara ke suku akhir.