SKUAD ragbi lelaki tujuh sebelah negara melakar kemenangan kedua selepas menewaskan Singapura 12-10 dalam satu pertembungan sengit di Stadium MBPJ Kelana Jaya, hari ini.

Memburu kemenangan kedua -- selepas mengatasi Kemboja 51-0 -- babak pertama berakhir dengan kedudukan 5-5.

Bagaimanapun, bermula babak kedua, Singapura berjaya menjarakkan diri dengan try kedua -- namun gagal menyempurnakan conversion -- untuk mendahului perlawanan 10-5.

Tatkala perlawanan berbaki satu minit sebelum berakhir, skuad bimbingan Mohd Saizul Hafifi Md Noor berjaya melaksanakan try dan conversion sekaligus melengkapkan kemenangan kedua.

Sementara itu, skuad ragbi wanita tujuh sebelah (7s) negara bangkit daripada kekalahan 15-0 kepada Singapura untuk membenam Laos 36-0.

Skuad bimbingan Nik Safuan Ismade Nik Man itu jelas mendominasi perlawanan apabila menamatkan aksi babak pertama 17-0.

Malaysia meneruskan cengkaman dalam babak kedua dan hasilnya melakar kemenangan 36-0.