Berita  |  Sukan

KL2017: Wushu sumbang tiga emas untuk negara

KL2017: Wushu sumbang tiga emas untuk negara
Diana Bong Siong Lin bergambar bersama pingat emas yang dimenanginya dalam acara Wushu kategori Nanquan sempena Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Atlet wushu negara Loh Jack Chang dan Diana Bong Siong Lin dan Yeap Wai Kin masing-masing menyumbang satu pingat emas di hari pertama pertandingan wushu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), yang berlangsung selama tiga hari.

Jack Chang mencatat 9.67 mata dalam acara taijijian lelaki untuk menewaskan peserta Indonesia, Bobie Valentinus Gunawan yang mendapat perak dengan 9.65 mata di dalam pertandingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Atlet Singapura Chan Jun Kai meraih gangsa dengan 9.62 mata.
Ketika ditemui selepas pertandingan, Jack Chang berkata beliau berpuas hati dengan keputusan tetapi merasakan persembahannya pada hari ini tidak begitu sempurna.

"Hari ini adalah hari yang hebat dan saya bangga untuk dapat menyumbangkan pingat kepada pasukan dan negara. Pada saya secara peribadi, persembahan saya tadi tidak sempurna terdapat beberapa kesalahan. Saya akan melihat kembali kesalahan itu dan memperbaikinya pada pertandingan seterusnya," kata beliau.

Dalam acara nanquan wanita, Diana mengutip pingat emas dengan 9.66 mata menewaskan atlet Myanmar Myint Aye Thitsar yang membawa pulang perak dengan 9.64 mata dan peserta Vietnam Nguyen Thuc Anh memperoleh gangsa dengan 9.63 mata.

'"Saya fikir saya melakukannya dengan baik kerana saya fokus dan memberikan persembahan 200 peratus . Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri sangat membantu kerana saya merasakan sokongan daripada rakyat Malaysia di dalam arena," katanya.

Awal hari ini, Malaysia menerusi Yeap Wai Kin mendapat emas dalam acara jianshu lelaki sementara rakan sepasukan Wong Weng Son memperoleh perak dalam kategori yang sama. Seorang lagi wakil Malaysia Loh Ying Ting juga memperoleh perak dalam acara gunshu wanita.

Dalam acara jianshu wanita, atlet Malaysia Phoon Eyin memperoleh perak.

-- BERNAMA