JURGEN Klopp menyelar pendekatan agresif Sergio Ramos dalam aksi final Liga Juara-Juara (UCL) dengan membandingkan tindakan kapten Sepanyol itu seperti seorang "ahli gusti yang brutal".

Ramos merupakan pemain yang penuh kontroversi dalam aksi di antara Liverpool dan Real Madrid apabila menjadi punca bintang The Reds, Mohamed Salah, mengalami kecederaan serta menyiku penjaga gol, Loris Karius, yang kemudian melakukan dua kesilapan besar.

Karius memberikan gol pembukaan kepada Karim Benzema di Moscow sebelum gagal menampan kemas percubaan Gareth Bale ketika mereka tewas 3-1.

Klopp menyuarakan hal ini buat kali pertama ketika Liverpool mengharungi persiapan musim baru dengan menegaskan tindakan Ramos itu berhak menerima hukuman berat.

"Adakah kita akan membincangkannya lagi? Jika anda melihatnya semula dan tidak memihak kepada Real Madrid, anda akan berasakan ia merupakan satu tindakan yang kejam dan brutal," kata Klopp.

"Dalam situasi itu, seseorang harus menilainya. Jika VAR digunakan pada ketika itu, anda akan melihatnya dan berfikir mengenainya. Satu tindakan yang kejam.

"Menyiku pemain lawan, mencederakan penyerang lawan. Ia merupakan satu perlakuan ahli gusti untuk memenangi perlawanan.

"Ketika aksi final tahun lalu berdepan Juventus, Ramos bertanggungjawab di sebalik kad merah Juan Cuadrado. Dia akan melakukan apa sahaja untuk memastikan pasukannya meraih kemenangan," katanya lagi.