PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp, berkata dia tidak berminat dengan prospek menyertai Barcelona kerana menganggap dia sudah memenuhi impian dalam kerjayanya.

Jurulatih berusia 50 tahun itu dikaitkan untuk menggantikan Luis Enrique awal tahun ini, sebelum Ernesto Valverde dilantik menjadi pengurus di Camp Nou pada Mei lalu.

Tetapi Klopp, yang bakal menyaksikan pasukannya menentang Sevilla di Sepanyol dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok, mendakwa dia tidak perlu menjadi pengurus skuad Catalan itu bagi meneruskan kerjayanya.

Ditanya sama ada akan mempertimbangkan tawaran membimbing Barca, dia memberitahu sidang akhbar: "Saya sangat gembira di Liverpool, saya juga sebelum ini sangat gembira di (Borussia) Dortmund.

"Jika Liverpool tidak mahu saya lagi, saya perlu mula memikirkan perkara baru, tetapi pada masa ini saya sangat gembira dan saya tidak fikir tentang mana-mana kelab."

Klopp juga menjangka Philippe Coutinho kekal di Anfield, walaupun spekulasi mengaitkan Barca dengan bintang Brazil itu pada Januari nanti.

"Satu-satunya peluang bagi kami untuk berjaya ialah mempunyai pasukan baik. Ia menjadi tugas kami untuk membuatkan mereka kekal di Liverpool," katanya.

"Coutinho 100 peratus di Liverpool. Apabila pasaran ditutup, kami semua profesional dan kami sekali lagi melakukan tugas kami. "

Liverpool akan layak ke pusingan 16 terakhir jika mereka menang di Ramon Sanchez Pizjuan, sementara keputusan seri sudah mencukupi buat mereka jika Spartak Moscow tewas kepada Maribor.

Klopp mengakui ini adalah perlawanan Liga Juara-Juara terbesar pada musim ini tetapi mahu pemainnya tidak terkesan dengan suasana yang berpihak kepada lawan.

"Menghadapi Sevilla, di Seville -- pasukan bola sepak yang sangat berpengalaman, pasukan bola sepak yang baik. Itulah Liga Juara-Juara yang sepatutnya," kata Klopp, yang sebelum ini menyaksikan pasukannya seri 2-2 dengan Sevilla di Anfield.

"Saya bermain di sini ketika bersama Mainz dan Dortmund. Suasana bergantung kepada prestasi pasukan lawan.

"Kami bukan berada di sini untuk menikmati suasana. Kami ada di sini untuk mendapatkan keputusan," tambahnya.