Berita  | Sukan

KOM, MSN kesal tindakan Muhammad Irfan pertikai isu jurulatih

KOM, MSN kesal tindakan Muhammad Irfan pertikai isu jurulatih
TINDAKAN Muhammad Irfan meluahkan rasa kesal di laman media sosial mengundang kekesalan pihak MSN dan KOM. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) kesal dengan tindakan atlet olahraga kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin yang memilih meluahkan rasa tidak puas hatinya berkenaan perlucutan jawatan jurulatihnya di laman media sosial.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, keputusan perlucutan kontrak jurulatihnya, Frantisek Petrovic merupakan keputusan Muhammad Irfan yang berpendapat sudah terlalu lama dia menggunakan khidmat jurulatih yang sama.

Beliau turut menegaskan, isu pembiayaan program latihan luar negara Muhammad Irfan ditolak kerana pihaknya tidak memperoleh maklumat lengkap berhubung pusat latihan dan skop latihan yang akan digunakan di sana.
"MSN tidak menerima sebarang surat atau sebut harga rasmi daripada mana-mana persatuan atau kelab olahraga dari negara Republik Czech atau Turki yang boleh menyatakan persetujuan mereka menerima Muhammad Irfan sebagai pelatih di kedua-dua negara itu," kata beliau dalam kenyataan pada Khamis.


Baru-baru ini Irfan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perlucutan jawatan jurulatih beliau dan pembiayaan program latihan luar negara yang ditolak MSN menerusi akaun instagram peribadinya.

Beliau juga turut tidak berpuas hati dengan kesulitan untuk meneruskan latihannya ke Eropah dan meminta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengambil tindakan.

Berhubung tuduhan Muhammad Irfan itu juga, Ahmad Shapawi memberitahu, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya dakwaan berkenaan dan setiap keputusan yang dibuat tidak ada kaitan dengan arahan Menteri Belia dan Sukan.

Sementara itu, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang juga kesal dengan tindakan Muhammad Irfan itu menggesa atlet berkenaan menarik semula kenyataannya.

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata, tindakan Muhammad Irfan berkongsi kekecewaan di laman media sosial tidak sewajarnya dilakukan atlet itu.

“KOM amat kesal dengan apa yang terjadi dan berharap agar Irfan bersabar bagi setiap yang dikehendakinya kerana sebarang keputusan perlulah dibuat secara kolektif,” kata Ibrahim dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Dalam masa sama, KOM, tambah beliau, memohon maaf dan berharap Irfan dapat menarik balik tuduhannya serta mengadakan perbincangan semula dengan jawatankuasa KOM.