Kontrak Karl Heinz Weigang sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak Perak ditamatkan berkuatkuasa hari ini, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Beliau berkata keputusan tersebut dicapai setelah kedua-dua pihak mengadakan perbincangan panjang lebar dan meneliti pelbagai aspek serta cadangan.

"PAFA sangat menghormati dan menghargai Weigang yang telah memberi perkhidmatan dan sumbangan luar biasa kepada pasukan dan dinobatkan sebagai Jurulatih Legenda 'The Bos Gaurus'," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berikutan itu, Abdul Puhat berkata bekas pemain pasukan Australia, Mehmet Durakovic dilantik sebagai ketua jurulatih Perak yang baharu berkuatkuasa hari ini selepas meneliti beberapa calon jurulatih tempatan dan asing.

Katanya Durakovic, 52, dari Australia dipilih berdasarkan rekod sebagai pemain dan jurulatih yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan serta kejurulatihan di negaranya.

Selain itu, Durakovic juga telah menjuarai pelbagai kejohanan seperti Piala Malaysia pada 1995, 1996 dan 1997 dan Piala FA pada 1995 semasa bersama pasukan Selangor sebagai pemain serta ketua pasukan.

"Semasa bersama Australia, beliau pernah menyertai pelbagai kejohanan termasuk kempen Piala Dunia 1990 dan 1994 sebagai ketua pasukan.

PAFA berharap perlantikan Durakovic dapat membentuk pasukan yang berkualiti dengan ilmu, pengalaman, sistem kejurulatihan dan taktikal tahap tertinggi bagi mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya. --Bernama