Kontroversi yang dikaitkan dengan Morten Frost Hansen ketika ini bukan sesuatu yang baru dihadapi oleh Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu.

Bezanya cuma kalau waktu menjadi ketua jurulatih BAM pada 1997-1999 dulu, beliau banyak dikaitkan 'berperang' dengan kelab Nusa Mahsuri, kali ini pergeserannya membabitkan aset utama badan induk itu - Datuk Lee Chong Wei.

Sebenarnya pergeseran antara Frost dan Chong Wei berlaku pada awal tempoh keduanya di BAM pada 2015 apabila tidak membenarkan jurulatih pemain itu, Tey Seu Bock mengiringi Chong Wei ke Terbuka Jepun.

Sebaliknya, hanya Frost seorang sahaja mengiringi rombongan pemain negara, sambil ditemani isterinya, keadaan yang menimbulkan rasa kurang senang Chong Wei.

"Saya perlukan jurulatih saya untuk membantu menilai permainan saya dan lawan. Apabila saya bising barulah dia benarkan Seu Bock bersama saya di kejohanan seterusnya di Terbuka Korea seminggu selepas itu," kata Chong Wei.

Ketika itu, sememangnya Chong wei memerlukan bantuan apa lagi baru kembali daripada penggantungan atas kesalahan doping dan memburu masa mendapatkan mata kelayakan untuk Sukan Olimpik Rio 2016.

Namun selepas misi itu dicapai, Chong Wei sekali lagi 'dimainkan' Frost yang tidak membenar pemain pelapis melakukan 'sparring' dengannya kira-kira sebulan sebelum temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro.

"Saya tak tahu apa masalah dia...macam mahu sabotaj peluang saya tapi insiden terbaru sekarang betul-betul buat saya marah.

"Dia macam tak sabar nak lihat saya bersara. Apakah saya ganggu programnya? Tapi apa sebenarnya program dia kepada badminton negara selama ini?," kata pemain nombor satu dunia itu.

Pemain yang akan genap berusia 35 tahun Oktober ini menjelaskan bagi mereka yang tidak memahami badminton, mereka akan memikirkan Frost ada membawa perubahan, semata-mata adanya kejayaan pemain negara di kejohanan yang disertai mereka.

Menurutnya, mereka yang arif akan tahu standard pertandingan yang dihantar Frost itu adalah rendah dengan disertai pemain dari negara kerdil sukan itu.

"Kalau itu program dia, sesiapa sahaja pun boleh buat, tak perlu BAM ambik Frost," tegasnya.

Chong Wei mengakui selama ini banyak berdiam diri atas nasihat dua jurulatihnya - Hendrawan dan Seu Bock - tetapi menegaskan sudah masanya dia bersuara kerana bosan dengan 'politik' legenda badminton dari Denmark itu.

Luahan Chong Wei itu pasti memeningkan BAM yang selama ini cuba menutup masalah yang ada, apa lagi pelantikan Frost yang pernah 'dipecat' mereka sebelum ini bukan pilihan mereka tetapi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Semalam, Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata beliau percaya perselisihan faham antara kedua-dua individu itu boleh diselesaikan dengan cara baik.

Katanya, beliau mahu Chong Wei dan Frost mengetepikan ego masing-masing demi kebaikan badminton tanah air.

Bagaimanapun, selepas berkerat rotan, mahukah Chong Wei berlembut kepada orang yang dianggap mensabotajkan sisa-sisa kariernya? -- Bernama