Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan H, wakil tunggal Asia, Korea Selatan gagal membawa panji Asia ke pusingan kalah mati apabila tewas 0-1 kepada Belgium di Arena Corinthians di Sao Paulo.

Korea Selatan yang memerlukan kemenangan besar untuk mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya gagal memanfaatkan peluang meskipun Belgium beraksi dengan 10 pemain setelah Steven Defour dibuang padang kerana terjahan keras keatas pertahanan Korea Selatan, Kim Shin-wook.

Peluang terbaik Korea Selatan hadir apabila percubaan Lee Chung-yong terkena palang pintu gol Belgium meskipun penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois telah pun tertewas.

Belgium kemudian menggandakan asakan namun gagal melepasi kawalan pertahanan Korea Selatan sehinggalah pada minit ke-78 apabila pertahanan Belgium, Jan Vertonghen berjaya memecahkan kebuntuan untuk jaringan gol Belgium yang pertama.

Asakan demi asakan dari kedua-dua pasukan selepas jaringan itu walau bagaimanapun gagal dijelmakan kepada jaringan gol dan ianya kekal hingga wisel penamat.

Dengan kejayaan itu, Belgium muncul sebagai juara Kumpulan H mengutip sembilan mata hasil tiga kemenangan dan dijadualkan bertemu Amerika Syarikat dalam pusingan kalah mati pada 2 Julai ini.

Korea Selatan hanya mampu mendiami tempat tercorot dalam kumpulan dengan berbekalkan satu mata.